ALBUM SIKUME

Juara Masal Puteri Pertandingan Silat Seni Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Melaka 2010

Solo Wanita Sekolah Menengah Teknik Jasin

Jurus Wajib Sekolah Menengah St David Bukit Baru Melaka

Isnin, 6 Jun 2011

Kejuaraan Silat Remaja Kebangsaan Ke 7 di Melaka.

Pada 3-7 hb Jun 2011, telah berlangsung Kejuaraan Silat Remaja Kebangsaan Ke 7 yang diadakan di Dewan Gelanggang Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit. Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, dilakukan dengan penuh adat dan tradisi melayu menjadikan majlis tersebut sungguh unik kepada hadirin yang menyaksikan majlis tersebut. Mengambil sedikit ucapan beliau, silat melayu bukanlah untuk bergaduh, bukan untuk berlawan. Silat Melayu banyak kesabarannya, jika seseorang dicabar, tatkala sedang marah, pesilat akan buka bunga silat. Jika tercabar lagi, pesilat akan buka langkah silat. Jika masih dicabar, pesilat akan bertahan membela diri. Jika masih diserang, barulah pesilat membuka serang, dan paling akhir barulah senjata digunakan.
Berbagai acara diselangi dengan syair dan gurindam, persembahan buka gelanggang pula dilakukan oleh Tuan Haji Mokhtar dan penyerahan keris kebesaran yang diiringi oleh 5 pahlawan simbolik kepada 5 pahlawan Melaka ( Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu) oleh bekas-bekas pesilat Negeri Melaka yang diketuai oleh Tn Guru, Ahmad Wardi Salim dan diiringi oleh Tn Guru S.B.Afeid Haji Buang, Yang DiPertua PSSKMM, Tn Guru Rahmat, Tn Guru Ramdan dan Tn Guru Mohamad.
Majlis juga amat berbesar hati kerana Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj Mohd Ali Rustam juga meluangkan masa seketika untuk hadir seketika bagi mengiringi Timbalan Menteri untuk menyampaikan cenderahati kepada pasukan-pasukan yang menyertai kejuaraan tersebut.



































Selasa, 3 Mei 2011

Pertandingan Silat Seni Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Melaka

Bertarikh pada 3hb Mei 2011- 5hb Mei 2011 berlangsung Pertandingan Silat Seni Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Melaka di Sekolah Menengah Ayer Keroh, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh Melaka. Persatuan Seni Silat Kunci Melayu Melaka (SIKUME) telah menghantar peserta-peserta dari Sekolah Menengah Teknik Jasin dan Sekolah Menengah St David Bukit Baru Melaka dalam pertandingan tersebut.
















Rabu, 5 Januari 2011

SIKUME cawangan Mesir

Pada akhir 2010, Persatuan Seni Silat Kunci Melayu Melaka, telah mencatat satu sejarah, apabila diberi keutamaan untuk mengadakan persembahan silat bagi menyambut dan meraikan kehadiran YAB Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Haji Mohd Ali bin Rustam di Wisma Seri Melaka Mesir. Kehadiran beliau untuk melawat penuntut-penuntut Melaka khasnya dan Malaysia amnya, untuk melihat kebajikan dan keadaan penuntut Malaysia di Mesir.

Persembahan diketuai oleh En. Omar Mokhtar yang juga pengasas SIKUME cawangan Mesir bersama rakan "sparing" persembahan beliau En. Mohammad Himma Shafiq, memberi kejutan dan keterujaan kepada Datuk Seri Ketua Menteri Melaka. Beliau sangat bangga dan kagum dengan kesungguhan kerabat-kerabat SIKUME Mesir dan berjanji akan memberikan peruntukan agar SIKUME Mesir akan terus berkembang maju.

Tahniah kepada En. Omar Mokhtar selaku pengasas SIKUME Mesir dan kerabat-kerabat SIKUME Mesir. Semoga kejayaan ini menjadi perangsang untuk anda terus bergiat dalam memperjuangkan seni silat pusaka bangsa.